Friday, August 14, 2009

Ustaz Asri..

Asri pergi tak kembali

"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga" – RAMLI MS




PASTINYA lirik puitis penuh sentuhan rohani di sebelah cukup kuat untuk mengingatkan kita semua kepada figura bernama Mohd. Asri Ibrahim, vokalis dan juga ketua kumpulan nasyid terkemuka, Rabbani.

Benarlah, setiap insan pasti akan merasa saat perpisahan yang terakhir kerana pada tanggal 13 Ogos 2009 lalu (semalam), kira-kira seminggu sebelum Ramadan 1430 Hijrah menjelang tiba, seluruh jiwa yang mengenali Asri bagaikan terpana dipukul halilintar.

Suasana ceria, teruja dan gembira tiba-tiba bertukar menjadi kalut dan cemas, anak kepada Robiah Ehsan, 70, yang sedang berdiri hendak memulakan sesi latihan menjelang satu majlis pelancaran di (RTM) rebah dan nazak. Setengah jam kemudian, berita pemergiaannya diketahui umum.

Perginya Asri tanpa pesan. Tanpa ucap selamat tinggal buat semua, kepada peminat yang sentiasa menyanjungi, sahabat seperjuangan mahupun buat keluarga tercinta.

Hanya lunak suaranya yang tinggal jadi kenangan dan lagu Pergi Tak Kembali seakan-akan mendayu-dayu, merintih dalam sendu dan tangis saat kerandanya di usung menuju ke persemadian terakhir di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam semalam.


ALLAHYARHAM Asri mengetuai kumpulan Rabbani sehingga berjaya menjadi kumpulan nasyid paling disegani dalam industri muzik tanah air.


Lagu yang ditulis sendiri oleh Allahyarham, Pergi Tak Kembali, itu cukup mengingatkan semua tentang kematian dan bekalan yang perlu dipersiapkan setiap makhluk bernama manusia.

Kata seorang teman Che Amran daripada kumpulan Raihan yang telah lama mengenali Asri : "Dalam hati saya, setiap kali mendengar berita kematian sesiapa sahaja termasuklah rakan-rakan, saya berkata, biarlah, itu takdir. Tapi saya selalu minta kepada Tuhan, janganlah orang berkenaan Ustaz Asri.

"Tapi panggilan Ilahi tidak mampu dilawan. Hari ini (semalam) Ustaz Asri dijemput Ilahi. Mulanya saya anggap berita yang diterima menerusi panggilan telefon sekadar gurauan.

"Dalam berdebar-debar, saya hubungi Azadan (anggota Rabbani) dan barulah saya tahu, benarlah Asri sudah tiada."




Bagi pencinta dan seluruh penggiat muzik nasyid di Malaysia, nama Asri muncul nombor satu sebagai tiang yang menjadi tunjang kekuatan. Dialah sumber inspirasi kepada mana-mana sahaja anak-anak muda yang mula ingin menginjak ke dunia nasyid.

"Bagi saya, Allahyarham adalah pahlawan sejati kepada perkembangan muzik nasyid kontemporari. Dialah pahlawan yang akan mengetuai gerakan kami.

"Dialah satu-satunya orang yang akan menjadi rujukan dan inspirasi penyanyi nasyid baru. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham sewaktu Allahyarham masih bersama Nada Murni lagi," tambah Che Amran yang ditemui di lobi Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Kuala Lumpur ketika menziarahi jenazah Asri.

Pemergian Allahyarham pada usia 40 tahun sungguh mengejutkan dan merupakan kehilangan besar kepada negara khususnya kepada bidang dakwah Islam menerusi seni.

Keunggulan anak ketujuh daripada 13 adik-beradik itu di mata pencinta muzik nasyid bukan hanya tertumpu kepada keindahan melodi dan kelunakan suaranya yang sukar ditemui persamaan dengan mana-mana penyanyi nasyid yang ada.


ALLAHYARHAM Asri menghabiskan hampir dua dekad hidupnya dalam muzik nasyid.


Sebaliknya pengetahuan agama yang tinggi dan pekerti Asri itu sendiri sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja pantas menyenangi kehadirannya.

Dua hari sebelum kematiannya, Allahyarham bersama ahli kumpulan Rabbani yang lain iaitu Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Loqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman sempat mengadakan satu sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama dengan Hotel Singgahsana, hotel yang tidak pernah mengenepikan nama Rabbani apabila tibanya Ramadan sejak 12 tahun lalu.

Seraya tersenyum, ini antara bait-bait terakhir yang dilafazkan Allahyarham ketika sesi sidang media itu berlangsung: "Orang kata, apabila tiba bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja dan banyakkan ibadah, tetapi bagi saya pula, kerja ini (membuat persembahan) merupakan ibadah kepada saya."

Kepada Ustaz Asri, semua perlakuan, perbuatan dan aktiviti seni yang diceburinya sejak bersama Nada Murni lagi merupakan satu ibadah. Lirik-lirik yang ditulis Allahyarham sendiri banyak berkisar tentang dakwah Islam yang mengajak umat agar kembali ke jalan Allah.

Sejarah awal

Menyingkap sejarah awal pembabitan Allahyarham dalam dunia seni segalanya bermula pada tahun 1991 apabila Allahyarham mula berjinak-jinak dengan kumpulan nasyid Nada Murni dan semakin serius apabila tertubuhnya kumpulan Rabbani pada 1 Mac 1997.

Meskipun kemunculan kumpulan Rabbani di persada muzik tanah air dipandang enteng pada awalnya tetapi itu sedikit pun mematahkan semangatnya walaupun ketika itu nama Raihan sedang mewangi di kalangan peminat nasyid.


ALLAHYARHAM melayan peminat ciliknya dalam satu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.


Rabbani mengejutkan banyak pihak apabila tampil bersama 13 ahli kumpulan dan menjadi satu-satunya kumpulan nasyid di Malaysia yang mempunyai anggota paling ramai.

Dalam soal keahlian dan tanggungjawab menjaga keutuhan kumpulan agar tidak berlaku onar yang meretakkan hubungan sesama ahli, Ustaz Asri sendiri pernah menjelaskan, keakraban dan setiakawan adalah kunci kekuatan mereka untuk bertahan sehingga kini.

Perkara itu diakui oleh komposer dan pengarah muzik terkenal Ramli MS. Katanya, apa yang menjadikan Asri satu nama besar dalam industri muzik nasyid adalah keunikan suaranya yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

"Saya individu yang mendengar muzik setiap hari tetapi setiap kali mendengar nyanyian daripada Allahyarham, telinga saya bagaikan tertusuk sesuatu yang indah.

"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga," ujar Ramli.


KUMPULAN Rabbani pernah berduet dengan penyanyi Amy Search (empat dari kanan) menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.


Selama 12 tahun kumpulan Rabbani ditubuhkan, kumpulan nasyid yang dianggap pencabar terdekat kepada Raihan itu melalui banyak fasa termasuklah menyesuaikan muzik nasyid tradisional dengan elemen-elemen muzik dari luar negara.

Bermula daripada konsep nasyid klasik melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut cita rasa yang sesuai dengan era terkini.

Sehingga kini bersama Rabbani Allahyarham sudah menghasilkan 18 buah album. Bukan itu sahaja, keunggulan Asri dan Rabbani dibuktikan menerusi pelbagai pencapaian dan anugerah yang telah diraih. Ini termasuklah kemenangan demi kemenangan kumpulan Rabbani dalam Anugerah Industri Muzik.


SAAT manis ketika Allahyarham Asri bersama isteri, Halizah Shahzan dalam satu temu bual untuk ruangan Intuisi Cinta Kosmo!.


Seorang teman seperjuangan Allahyarham, penyanyi Yassin yang ditemui menyifatkan pemergian arwah satu kehilangan yang besar dalam industri muzik Malaysia.

"Ini kehilangan yang besar pada industri muzik sebab ramai orang yang membesar dengan lagu-lagu Rabbani. Saya sendiri terkejut sebab tidak tahu dia ada penyakit kronik kerana dua tiga hari sebelum ini saya baru jumpa arwah dan tidak nampak sebarang perubahan langsung.

"Arwah juga seorang yang baik. Tanyalah sesiapa sahaja, pasti tiada seorang pun yang tidak suka akan personalitinya," ujar Yassin sambil menitiskan air mata.

Sesungguhnya, apa yang tercatat menerusi penulisan ini tidak dapat menggambarkan keseluruhan riwayat hidup yang pernah dilalui oleh seorang hamba Allah, seorang lelaki, seorang penasyid, seorang penghibur, seorang pendakwah, seorang suami dan seorang ayah bernama Mohd. Asri Ibrahim.


ALLAHYARHAM bersama isteri dan anak tercinta (dari kiri) Sofiyah Munawarrah, Nor Afikah, Mohd. Ilham, Mohd. Fathi, Halizah Shahzan, Hamdi Rabbani dan Najmuddin.


Disahutnya panggilan Ilahi tanpa mengundang banyak keresahan keluarga, peminat dan rakan-rakan, Allahyarham Asri telah pergi meninggalkan semua dalam sekelip mata.

Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Asri pergi dan takkan kembali lagi.

Allahyarham yang meninggal dunia pagi semalam ada menulis dalam blognya asrirabbani@blogspot.com yang berbunyi: "Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...."

No comments:

Post a Comment